Assalamualaikum
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wa Ta`ala kerana dengan limpah dan kurnia-NYA,
saya berpeluang menurunkan sepatah dua kata-kata aluan kepada
semua pengunjung laman web ini. Saya turut berterima kasih
kepada mereka yang terlibat dalam pembangunan laman web
ini.
Perpustakaan, seperti yang telah kita sedia maklum, merupakan
gedung ilmu yang penting kerana ia menyediakan pelbagai
sumber rujukan dalam pelbagai bidang bagi menyokong aktiviti
pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Pihak Perpustakaan
UTHM sentiasa memberi tumpuan kepada usaha membangunkan
koleksi bahan-bahan rujukannya dan juga memperbaiki mutu
perkhidmatan bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat
daripada perpustakaan.
Sejarah telah menunjukkan
bahawa pembangunan perpustakaan adalah selari dengan perkembangan
universiti. Perpustakaan telah mula beroperasi pada tahun
1993, dengan kapasiti 120 tempat duduk. Pada masa kini,
kapasiti tempat duduk telah meningkat kepada 500 dengan
pembukaan Perpustakaan Kampus Bandar dan Perpustakaan Blok
B5 (di atas Pejabat Bendahari). Pihak perpustakaan sentiasa
berusaha menyediakan bahan-bahan rujukan yang terkini dan
mencukupi bagi menampung bilangan pengguna yang semakin
bertambah setiap tahun. Pada ketika ini, Perpustakaan telah
memiliki sebanyak 110,000 naskhah monograf, 4,000 judul
tesis, 500 judul jurnal, 20 perkhidmatan pangkalan data
atas talian, 4 perkhidmatan "e-books" dan 10,000
unit bahan audio-visual.
Saya berharap agar seluruh
warga Perpustakaan UTHM terus berusaha dengan lebih gigih
dan tekun untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Semua
pihak perlu bersedia untuk menempuh setiap cabaran yang
mendatang selari dengan misi untuk memberikan perkhidmatan
yang terbaik dan berkualiti serta menyediakan bahan-bahan
rujukan yang terkini dan lengkap bagi menyokong perkembangan
universiti ini.
Sekian. Terima Kasih.
Bharun Narosid B. Mat Zin
Ketua Pustakawan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia